|
Universiti Putra Malaysia (UPM)
telah mula menawarkan program Bacelor Komunikasi pada tahun 1998 dengan
mempunyai empat pengkhususan iaitu bidang Penyiaran, Kewartawanan, Komunikasi
Korporat dan Komunikasi Kemanusiaan. Bagi menyokong program akademik ini, UPM
telah membina kemudahan makmal seperti makmal fotografi, makmal pidato dan
makmal penyiaran. Makmal penyiaran mempunyai dua unit iaitu unit penerbitan
video dan unit penerbitan radio. Unit penerbitan radio kini telah mendapat
peruntukan untuk dinaiktaraf menjadi Stesen Radio Kampus.
Stesen Radio Kampus Universiti Putra Malaysia atau dikenali dengan nama Putra
FM, merupakan stesen radio kampus digital pertama IPTA di negara ini. Kerja
merekabentuk studio dan pemilihan peralatan yang sesuai bagi studio ini adalah
dengan bantuan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Pembinaan stesen ini mendapat
khidmat nasihat daripada Jabatan Penyiaran Malaysia . Kerjasama ini adalah hasil
daripada Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UPM dengan RTM yang ditandatangani
pada 1 April, 1998. Pihak pengurusan Fakulti telah mengadakan beberapa
perbincangan serius dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan RTM
bagi mendapatkan lesen penyiaran. Hasil perjumpaan adalah positif dan hasil
daripada itu stesen radio kampus UPM telah beroperasi di bawah naungan RTM atau
secara khususnya Selangor FM. Kerjasama yang berterusan dengan pihak RTM adalah
bertepatan dengan MoU yang telah dimeterai.
|