Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mula menawarkan program Bacelor Komunikasi pada tahun 1998 dengan mempunyai empat pengkhususan iaitu bidang Penyiaran, Kewartawanan, Komunikasi Korporat dan Komunikasi Kemanusiaan. Bagi menyokong program akademik ini, UPM telah membina kemudahan makmal seperti makmal fotografi, makmal pidato dan makmal penyiaran. Makmal penyiaran mempunyai dua unit iaitu unit penerbitan video dan unit penerbitan radio. Unit penerbitan radio kini telah mendapat peruntukan untuk dinaiktaraf menjadi Stesen Radio Kampus.

Stesen Radio Kampus Universiti Putra Malaysia atau dikenali dengan nama Putra FM, merupakan stesen radio kampus digital pertama IPTA di negara ini. Kerja merekabentuk studio dan pemilihan peralatan yang sesuai bagi studio ini adalah dengan bantuan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pembinaan stesen ini mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Penyiaran Malaysia . Kerjasama ini adalah hasil daripada Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UPM dengan RTM yang ditandatangani pada 1 April, 1998 . Pihak pengurusan Fakulti telah mengadakan beberapa perbincangan serius dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan RTM bagi mendapatkan lesen penyiaran. Hasil perjumpaan adalah positif dan hasil daripada itu stesen radio kampus UPM telah beroperasi di bawah naungan RTM atau secara khususnya Selangor FM. Kerjasama yang berterusan dengan pihak RTM adalah bertepatan dengan MoU yang telah dimeterai.

Stesen radio kampus ini telah beroperasi sepenuhnya pada bulan Ogos 2002. Pemilihan juruhebah pada waktu itu telah dibuat dan mereka yang terpilih telah mengikuti latihan mengendalikan peralatan digital studio. Kini, stesen radio kampus ini telah menjadi stesen radio digital tercanggih di kalangan IPTA/IPTS dan juga di kalangan stesen-stesen radio di Lembah Klang.

Program Putra FM ini menitikberatkan pendidikan dewasa dengan menyediakan program utama pendidikan, informasi dan juga hiburan. Oleh kerana Putra FM digunakan untuk tujuan akademik, maka masyarakat sekitar juga akan menerima manfaatnya, terutama dari segi pendedahan budaya ilmu, sains dan teknologi, termasuk teknologi komunikasi dan maklumat.

Menteri Penerangan Malaysia pada ketika itu, iaitu Tan Sri Khalil Yaacob telah membuat lawatan kerja ke Stesen Putra FM pada 26 Mac 2002 untuk melihat kemudahan studio ini dan potensi stesen radio ini sebagai saluran komunikasi antara pelajar dan masyarakat dan sekaligus merasmikan Stesen Putra FM.

2. Tenaga Kerja

Putra FM kini telah mempunyai seramai lima kakitangan yang terdiri daripada seorang Pegawai Penerbit (B41), dua Penolong Pegawai Penerbit (N27), tiga orang Pembantu Penerbit (N17) dan seorang Juruteknik (J17).

3. Objektif

•  Sebagai pusat pembelajaran dan persediaan pelajar Bacelor Komunikasi UPM dalam pengkhususan penyiaran.
•  Menjadi sebuah stesen radio digital kampus terunggul di Malaysia.
•  Membantu menaikkan taraf kedudukan (ranking) UPM di kalangan universiti.


4. Tujuan

•  Ia adalah sebagai makmal pengajaran kursus penerbitan radio yang ditawarkan oleh UPM
•  Melatih pelajar supaya kreatif dalam menyampaikan informasi
•  Melatih pelajar berdepan dengan masyarakat
•  Menyalurkan penemuan baru teknologi pertanian dan lain-lain bidang ilmu di UPM kepada masyarakat
•  Wahana interaksi di antara sesama pelajar dan antara pelajar dan masyarakat.


5. Operasi

•  Peralatan menggunakan asas komputer atau digital secara keseluruhannya.
•  Dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu On Air Conti, Editing and Scheduling, Master Control Room (MCR) dan Recording Suite.
•  Menggunakan perisian Mediatron Digital Radio System keluaran Jerman yang merupakan pertama kali digunakan di Malaysia.
•  Mampu diakses melalui radio internet.
•  Mesin rakaman dan suntingan (Post Station II) merupakan yang pertama sekali digunakan di Malaysia.
•  Alat pemancar radio (transmitter) mampu menjana untuk liputan kawasan Lembah Kelang.
•  Mendapat kerjasama dan sokongan daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM).


6. Siaran

Kawasan liputan siaran Putra FM dapat didengar di kawasan Serdang dan sekitarnya melalui frekuensi FM90.7.

Alternatif lain adalah dengan melayari laman web Putra FM di alamat www.putrafm.upm.edu.my untuk mendengar web radio streaming .

Siaran Putra FM ke udara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 10.00 pagi sehingga 12.00 malam. Rancangan Cit Cat Kampus pula akan ke udara di frekuensi FM100.9 (Selangor FM) pada hari Ahad dari jam 10.15 pagi hingga 11.00 pagi.